Sejarah Penubuhan
BINA / HIKMAH
Ditulis oleh alwi-admin Selasa, 05 Ogos 2008 23:44
Kongress Islam Malaysia Timur (3 hingga 5 Mei 1968)
Penjajah Barat telah berjaya meracuni pemikiran pelajar
Islam melalui pendidikan di sekolah-sekolah muballigh Kristian di Negeri
Sarawak . Segelintir daripada pelajar Islam tingkatan lima dan enam telah mula
berani mempersoalkan tentang kewujudan Allah , fungsi agama dalam kehidupan
serta melemparkan tuduhan bahawa agama Islam adalah kolot, beku dan lapuk.
Memandangkan kepada senario yang sangat menakutkan ini, Persatuan Kebajikan
Islam (PKIS) telah menganjurkan satu Kongres yang dikenali sebagai Kongres
Islam Malaysia Timur yang diadakan pada 3 hingga 5 Mei 1968 di Dewan Masyarakat
Kuching. Kongres ini telah berjaya mengumpulkan ramai para intelek Islam
Sarawak dan Sabah untuk memikirkan masa depan umat Islam di kedua-dua buah
negeri tersebut.
Bersempena dengan kongres ini juga, PKIS mengadakan Kursus
Agama Belia Islam khusus untuk pelajar-pelajar Islam tingkatan lima dan enam
pada 24 April hingga 2 Mei 1968
Hasil daripada cadangan para peserta Kursus Agama Belia
Islam khusus untuk pelajar-pelajar tingkatan lima dan enam pada 24 April hingga
2 Mei 1968, maka lahirlah sebuah Pertubuhan Dakwah Islamiah Bukan Kerajaan
(NGO)yang dinamakan sebagai Angkatan Nahddatul Islam Bersatu atau ringkasnya
BINA pada 3 Mei 1968 M.
Ia telah diasaskan oleh beberapa tokoh penting seperti Tun
Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub, Tan Sri (DR) Haji Abdul Taib Mahmud,
Datuk Sri Haji Anis bin Haji Abot dan Datuk Haji Mohd.Mortadza bin Haji Daud.
HIKMAH- Hasil
Transformasi Dari BINA
Setelah berusia lebih suku abad, organisasi ini telah
menerima transformasi pindaan perlembagaan termasuk namanya daripada BINA
kepada HIKMAH melalui satu resolusi yang telah diluluskan oleh Perhimpunan
Perwakilan BINA ke-XI yang berlangsung pada 17 – 18 September 1993 di Dewan
HIKMAH Petra jaya Kuching Sarawak.
Penukaran nama BINA kepada HIKMAH sebagai ‘wadah penerus
perjuangan dakwah BINA ‘ telah dilancarkan dengan rasminya oleh Yang Amat
Berhormat Pehin Sri (DR) Haji Abdul Taib Mahmud , Ketua Menteri Sarawak pada 19
Ogos 1994 M di Dewan BINA, Petra Jaya Kuching Sarawak.
No comments:
Post a Comment